Nuffie

Sahabat Eastboy

Thursday, January 27, 2011

Buah Kundur (Benincasa Hispida)

Buah Kundur (Benincasa Hispida)
Kundur atau lebih dikenali dengan nama saintifiknya Benincasa Hispida adalah sejenis buah yang banyak terdapat di China, India dan di beberapa bahagian lain di Asia Timur. Di Malaysia buah kundur dikenali juga dengan nama Beligu. Kundur juga dikenali dengan nama Wax Gourd, White Gourd dan Ash Gourd. Perkataan Wax, White, dan Ash merujuk kepada debu putih yang terdapat pada kulit buah kundur.

Masyarakat Cina amat menggemari buah kundur. Mereka memanggilnya 'tung kua' yang bermakna labu musim sejuk. Ini adalah kerana buah kundur tua boleh disimpan dalam tempoh yang sangat lama. Oleh sebab itulah dikatakan buah kundur yang masih segar boleh diperolehi pada musim sejuk.

Buah kundur boleh didapati dalam pelbagai bentuk. Ada yang bulat tetapi bahagian pangkal dan hujungnya leper. Ada juga berbentuk bulat seperti bola dan ada berbentuk silinder panjang. Buah jenis silinder panjang ini boleh disimpan sehingga setahun selepas dituai. Di Malaysia terdapat kundur Cina dan kundur Jawa. Kundur Cina berkulit licin manakala kundur Jawa berbulu.

Kajian mendapati bahawa buah kundur mengandungi banyak air dan sejumlah kecil lemak, protein, karbohidrat dan serat. Ia juga mengandungi kalsium, fosforus, besi, riboflavin, thiamin, niasin, vitamin C, kanji, alkaloid jenis cucurbitine, resin asid, protein jenis myosin dan vitelin serta gula.

Khasiat yang bernilai dalam buah kundur ini menjadikan buah ini amat popular untuk dijadikan bahan dalam masakan kari manis, manisan, acar manis, sup dan teh. Kajian juga mendapati bahawa buah kundur turut mempunyai khasiat ubatannya yang tersendiri.

Di China, kulit buah, isi buah, jus dan biji kundur digunakan sebagai ubat untuk merangsang buang air kecil dan air besar, penawar demam panas, buasir, lebam atau bengkak, tonik, sakit usus, sakit buah pinggang, kencing manis, dropsy (takungan air dalam badan) dan lemah limfa. Abu biji kundur digunakan untuk mengubat penyakit gonorea manakala abu kulit buah untuk penyakit luka. Masyarakat Filipina memasak buah kundur segar untuk dijadikan sirup dan ubat bagi masalah pernafasan dan paru-paru. Air kundur juga didapati sebagai bahan cuci mata yang merah dan bengkak.

Sebagai buah yang banyak nilai ubatan dan kuasa penyembuhnya serta rendah kalori, buah kundur dikatakan amat baik untuk penyakit diabetik dan mereka yang mahu mengawal berat badan. Sifat sejuk buah ini dikatakan mampu merangsang rembesan dan pembuangan air kencing. Ini bermakna buah kundur juga mampu bertindak sebagai agen pembuangan toksin dari badan yang baik.

Jus yang dihasilkan daripada buah kundur dikatakan amat baik untuk mereka yang menderita masalah ulser peptik. Jus yang dihasilkan daripada buah yang telah dihancurkan ini akan dicampurkan dengan air. Jus ini dikatakan boleh diambil setiap pagi terutamanya ketika perut masih kosong. Selepas itu, pastikan anda tidak makan selama tiga jam. Pengambilan buah kundur juga dikatakan mampu mengatasi masalah sembelit.

6 comments:

Miecyber said...

Lama dah tak makan sayur kundur...

Hutang isi rumah mencecah RM 557 bilion

~~su manje~~~ said...

nice info... su suka ulam ulaman

blackrosehunter said...

banyak khasiatnya rupanya..tapi tak suke mkn..rase dia tak best...


Blackrose's latest entry: Khasiat Buah Tembikai

Miecyber said...

Suka makan sayur kundur...

RAM & ROM

nas said...

banyak juga khasiat buah kundur ni ye

josrevalution said...

salam kenai..uis..lama dah x update blog nie..huhu..tapi info masih best2..folo u blog..pls folo back yer..tq..

doa mengelak dirogol dan doa megelak anak dirogol